Lawatan Ke Seoul Korea..Memang Berbaloi !

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Bagaimana saya ingin memulakan nukilan perjalanan program SUK ke Seoul, Korea ini? Pertama kalinya ucapan tahniah tidak terhingga kepada Jawatankuasa Kecil Sosial dan Kebudayaan kerana menyediakan satu bentuk lawatan yang seronok dan menghiburkan. Usaha gigih dan perancangan yang teratur semua ahli jawatankuasa telah membuahkan hasil. Penantian selama 12 bulan dirasakan berbaloi dan ia merupakan program terbaik untuk menutup tahun 2013 lalu.


Kami bergerak daripada SUK dengan menaiki bas pada pukul 4 petang, 19 Disember 2013 menuju ke KLIA. Sebahagian daripada warga kerja menaiki kenderaan sendiri. Setibanya kami tiba di KLIA, kami diperkenalkan dengan wakil travel agent iaitu Puan Fadilah daripada AR TRAVEL & TOURS SDN BHD untuk memberikan  taklimat ringkas. Kami kemudian bergerak menuju ke terminal untuk menaiki penerbangan Vietnam Airline yang akan melakukan penerbangan ke Saigon terlebih dahulu , kemudian kami bertukar kapal terbang menuju ke Seoul. Masa transit tidak mengambil masa yang lama. 

Setibanya kami di Seoul Korea, Kami diperkenalkan dengan 2 orang agent daripada korea yang akan bersama kami selama lebih kurang seminggu, Claire dan Peter (nama inggeris untuk memudahkan kami menyebutnya). Sikap ramah mesra mereka memudahkan kami mengetahui informasi mengenai negara Korea ini. Sejurus kami melangkah keluar daripada terminal, kami terus dibawa ke tempat lawatan yang telah dirancang dan pada waktu malam barulah kami memasuki hotel. Hotel yang kami diami di bandar Seoul ialah Victoria Hotel. Sebelum terlupa, keadaan cuaca di sana ketika itu amat sejuk dan kami mengenakan pakaian tebal untuk memanaskan badan. Apa yang menarik ialah, di Hotel ini, Pemanas dipasang dibawah lantai. Apabila lantai kayu dipijak, terasa hangat dan selesa.


Pada hari-hari berikutnya, kami melawat kawasan seperti Nami Island,Taman Tema  Everland(setanding disneyland dan ia merupakan kepunyaan Samsung Sdn Bhd), House of Kim-chi and Han-bok( membuat makanan tradisional korea dan memakai pakaian tradisional), National Ginseng Outlet, National Amethyst Factory (batu jed dan pelbagai lagi jenis batu berharga) Korean Cosmetic Duty Free, membeli-belah di Namdaemun dan Myeong-dong dan Dongdaemun , istana Kyongbok, dan Kediaman rasmi Perdana Menteri (Blue House) dan Seoul N Tower (tempat kekasih melafazkan cinta sejati dengan memasang mangga pada pokok dan pagar)


Sepanjang program dijalankan, cuaca di Seoul amat selesa, suhu sejuk yang tidak terlalu melampau ( kecuali awal pagi dan lewat malam), tempat untuk solat ada disediakan, makanan tidak menjadi masalah sepanjang lawatan , ia sedap dan menyelerakan sehinggakan ada antara kami menambah nasi berkali-kali dan yang paling utama ialah sikap ramah mesra antara warga SUK. Pelbagai ragam yang menghiburkan hati dan mewujudkan suasana yang seronok tidak kira siang mahupun malam.


Akhir kata, semoga lawatan seperti ini dapat dilakukan lagi dan saya menjemput semua warga SUK untuk turut sama menyertainya. Kalau tak cuba , tak tahu kan?.Betul Tak Puan Helwa ? (video)


Gambar-Gambar Semasa Lawatan Ke Seoul Korea :